Ada Ancaman Ada Ganjaran

Usai solat subuh anak bongsu mengadu.
Dia telah membuat satu kesilapan dan terus dilempar dengan kata- kata yang tidak enak didengar.
Wajahnya jelas tidak berpuas hati.

Tugas ibu, awal pagi lagi kaunter aduan sudah dibuka.
Bila anak mengadu, ibu mendengar dan beri perhatian.
Mungkin cerita remeh pada kita ibubapa tetapi tidak pada anak.

Tunjukkan dengan minat, dengar dan sesekali mencelah tanda kita mengikuti cerita anak.

Pagi ini bila anak mengadu, dia dikatakan bongok.
Dia tidak puas hati.
Sambil anak duduk sebelah, ibu mulakan tarbiyah.
Anak diusap kepala dan badannya, sentuhan ibu penting untuk tenangkan anak.

Satu persatu hadis pendek diulang dengar untuk anak.
Sambil ulang sambil soal semula anak untuk tengok anak ingat lagi ke tidak hadis terkait menjaga lisan.
“Sayang, Abu Hurairah pernah tanya Nabi, apakah amal yang banyak membawa manusia ke neraka dan ke syurga?”.

Diterangkan kepada anak kemudian ditanya semula.
Diulang lagi hadis, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, berkata baik atau diam.
Disambung pula dengan “who is silent he is saved”, orang yang baik akhlak itu tempatnya di puncak syurga.

Mengambil metode mengajar cara Al Quran
Ada ancaman ada rewards .
Diceritakan pula kepada anak kisah- kisah orang yang dipanggil dengan gelaran wai..celaka.
Orang yang mengumpat, mencela, orang yang berdusta.
Allahuakbar!

Bayangkan jika orang panggil kita celaka pun kita tak suka apatah lagi kalau Pencipta kita yang memanggil kita celaka!

“Sayang bila kita dipanggil macam tu apa yang kita perlu buat?”
“Sabar ibu” perlahan jer anak menjawab.
“Kan Allah dah kata, siapa yang betul sayang Allah, ikutlah Nabi. Nabi dah pesan jaga lisan, kita jaga jer lisan. Siapa sayang Nabi dapat apa ?”
Beri dalil dari al-Quran moga kukuh di hati anakini “tiada keraguan didalamnya ” yang selalu diulang baca surah al-Baqarah ayat dua.

Ibu tidak tunggu anak menjawab, ibu terus ke point.
“Sayang, siapa yang ikut Nabi, Allah akan sayang kat dia dan Allah ampunkan dosa- dosa dia” ( sambil diulang dengar ayat 31 surah Ali Imran entah untuk keberapa kalinya).

Selepas tarbiyah nampak anak lebih selesa dari mula tadi.
Anak lelaki yang akan menginjak keusia 13 tahun.
Jika direzekikan mungkin tahun hadapan bermula kehidupan di asrama.
Pentingnya anak belajar tentang hak lidah, mata, telinga, kaki, tangan dan segala yang Allah kurniakan.

Lidah yang tidak dibimbing mungkin akan keluar perkataan kotor.
Mata yang tidak dibimbing mungkin akan melihat benda yang kotor.

Dalam buku catatan tertulis 20 Julai 2021 menulis tentang kepentingan menjaga lisan. Hari ini 16 Disember 2021, ibu ulang semula peringatan yang sama untuk anak.
Sungguhlah mendidik itu kerja berulang.

#SASU
#TARBIAHSUBUH

Leave a Comment

CommentLuv badge