Malam tadi, semasa membuat ulangkaji mata pelajaran Adab, ada perkara yang saya tidak tahu.
Alhamdulillah, hubungan baik dengan ustazah menjadi satu laluan untuk bertanya apa yang tidak faham. Saya menghubungi Whatsapp ustazah.
Ustazah jawab lambat kerana ustazah tertidur. Lewat malam ustazah membalasnya. Punyalah ustazah berusaha nak membantu anak murid.
Alhamdulillah, dah dapat jawapan saya sambung belajar walau anak yang nak ambil periksa dah tidur!
“Tak apa, lepas subuh esok ulang semula sekali lalu” kata hati.
Pagi ini sedang mengemas rumah, ustazah menghantar Whatsapp.
“Mana Puan dapat soalan tu? Sebijik keluar”.
Ya Allah, baru teringat.
Soalan yang sebiji keluar tak sempat diulang subuh tadi. Saya maklumkan kepada ustazah daripada mana saya dapat soalan sebiji itu. Daripada soalan UPKK 2018. Memang dua minggu sebelum peperiksaan saya merujuk nota padat UPKK dan seleksi soalan sebenar UPKK.
Untuk ibu bapa yang ingin membantu anak- anak untuk UPKK tahun hadapan.
Izinkan saya berkongsi sedikit pengalaman.
Situasi sekarang berbeza. Gaya membantu daripada pihak ibu bapa juga berbeza. Entah bagaimana keputusan anak saya, andai bagus Alhamdulillah. Andai sebaliknya saya sudah berusaha.
1) Hubungan baik dengan ustazah.
Bina hubungan baik dengan guru anak.
Hubungan baik ini membantu untuk ibubapa bertanya apa yang tidak faham sewaktu mengajar anak. Jika ibubapa memang bukan dari aliran agama seperti saya, perkara mudah pun kita rasa mencabar. Nak susun nombor satu hingga ribu dalam bahasa Arab pun tak tahu. Perlu bantuan guru untuk dapatkan tip.
Untuk domir, fiil dan isim , semua itu ada tip untuk memudahkan ibu bapa membantu anak.
2) Ikut kelas online
Saya ikut kelas Ustaz Roket. Waktu kelas bukan anak sahaja yang belajar, saya ikut serta. Sebab untuk mudahkan saya dapat tip untuk mengajar anak. Contoh soalan Ulum ( ibadah dan akidah), banyak bab ini yang anak kena belajar seperti syarat wajib puasa, syarat sah puasa.
Kalau tidak faham, mudah sangat keliru. Ustaz Roket membantu pelajar dengan memberi tip tertentu yang memudahkan ibu bapa untuk bantu anak.
3) Belajar bersama anak.
Biasanya ibu bapa mempunyai harapan tinggi menggunung terhadap anak.
Pengalaman saya dengan anak sulung dahulu, bersungguh saya mengajar akademik, UPKK serta UPSRA sebab nak anak masuk institut tahfiz al-Quran, Negeri Sembilan. Apabila ibu ada harapan, tunjukkan harapan yang menggunung itu dengan “turun padang” bersama anak untuk belajar sekali.
Anak pasti seronok, sebab anak dapat tengok ibu “merasa” lelahnya belajar, sama bersengkang mata. Waktu anak terasa penat saya suka ulang ayat “kalau tidak sanggup lelahnya belajar maka tanggunglah peritnya jadi bodoh”. Sebenarnya ayat itu lebih untuk mengingatkan diri saya sendiri.
Ayat ini pun saya dapat dalam buku Kak Ngah sewaktu dia belajar di MRSM Pasir Salak dahulu. Kata- kata hebat itu daripada Imam Shafie.
Simpan satu kata- kata motivasi untuk kita bangkit semula saat kita terasa lelah.
4) Masuk grup kelas.
Saya join grup kelas anak di sekolah dan grup Whatsapp Ustaz Roket.
Alhamdulillah dalam grup ini tak ada cerita lain. Semuanya fokus pada pendidikan. Dalam group ini, saya dapat melihat betapa ibu- ibu sangat bersemangat mengikut Mpkafa.
Apa yang tidak faham, terus ditanya tanpa segan silu. Soalan yang mudah tapi kalau tak faham, tak faham juga. Bila ada grup seperti ini, ia sangat membantu. Ibu- ibu saling membantu, terasa kami ada satu keluarga besar Mpkafa.
5) Buku rujukan yang sesuai.
Buku yang saya guna adalah cadangan daripada ustazah yang mengajar anak.
Saya menggunakan buku Nota Padat Fargoes dan Seleksi soalan sebenar UPKK tahun- tahun sebelumnya. Ibu bapa boleh menggunakan soalan tahun lepas untuk membuat ujian di rumah. Ulang dan ulang.
Sebelum membuat pengulangan, pastikan ibu bapa sudah membahagikan tajuk- tajuk setiap mata pelajaran. Andai tak buat begini, kita sebagai ibu bapa pula yang caca marba jadinya.
Saya keluarkan setiap tajuk. Contoh Sirah.
Baca dan soal anak. Bahagikan cerita perang, cerita salasilah dan mukjizat.
Bila dah bahagi, mudah untuk kita bersoal jawab. Anak dapat, ibu pun dapat. Masing-masing dapat ilmu. Mulakan dari tajuk tahun tiga, empat dan lima.
Dah habis tajuk, baru jawab buku seleksi sebenar UPKK.
Masa mula- mula buat ulangkaji ,saya nyatakan kepada anak. Niat penting dalam belajar. Mohon keampunan dari pada Allah kerana yang satu ini menakutkan. Takut salah niat. Niat nak dapat A, bila dapat A cerah peluang untuk dapat tempat di sekolah agama terpilih.
Matlamat ibu mesti nak anak sekolah terpilih, nak anak sekolah agama.
Astagfirullallahalazim. Ampunkan kami Ya Allah.
Tempatkanlah anak kami di tempat terbaik, Engkaulah sebaik- baik Pemberi Tempat.