Jom, dikir barat

Hari ini, ramai murid yang tidak hadir. Memang menjadi satu kebiasaan, setiap kali tiba hari Khamis, hal ini akan berlaku. Ketika saya baru melangkah masuk ke kelas 4 Genius, mereka mula :

 

“Ustazah, tak payah belajarlah hari ni”

 

“Ustazah, ramai tak datang ke sekolah”

 

“Ustazah, buat kerja sendiri ye”

 

Saya hanya diam mendengar permintaan mereka.  Saya juga tidak menegur kesilapan mereka yang datang ke sekolah tetapi tidak mahu belajar. Saya telah mengaplikasi Teknik Nabi Tidak Menegur Kesalahan seperti dalam hadith 12 Malaikat pada hari tersebut.

 

Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang sambil membaca ‘Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.’

 

Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.”

 

Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

 

Dalam hadith ini, seorang lelaki melakukan beberapa  kesalahan secara terbuka di dalam masjid semasa orang-orang lain sedang sembahyang. Namun Nabi Muhammad sama sekali tidak menegur kesalahan lelaki itu dengan berkata:

 

“Orang lain sudah mula sembahyang tapi kamu baru sampai.” (SALAH)

 

“Perbuatan kamu itu mengganggu orang lain sedang khusyuk sembahyang” (SALAH)”

 

Apabila saya tanya, kamu tidak menjawab.” (SALAH)

 

Di sebalik sikap Nabi Muhammad yang tidak menegur kesalahan lelaki itu adalah prinsip ‘menyelamatkan maruah orang yang melakukan kesalahan’. Apabila lelaki itu tidak ditegur oleh Nabi Muhammad, dia tidak berasa  dirinya dimalukan di hadapan orang ramai. Dengan itu, maruahnya tidak  jatuh.

 

Saya tidak memarahi pelajar yang datang ke sekolah tetapi tidak mahu belajar dengan berkata:

 

“Kamu ini datang ke sekolah tetapi tidak mahu belajar. Kamu nak jadi apa bila tidak belajar? Nak jadi lembu?” (SALAH)

 

Saya cuma berkata ” Hebatnya kamu semua sebab datang ke sekolah walaupun ramai kawan kamu tak hadir. Kamu memang murid yang bagus” sambil saya memberikan senyuman yang manis dan simbol bagus kepada mereka.

 

“Hari ini kamu semua bertuah kerana kita semua akan…menyanyi lagu Attho’ammu Laziz dengan rentak dikir barat ” Wau Bulan”

 

Subhanallah, mood mereka yang sebentar tadi tidak mahu belajar sudah mula teruja untuk melakukan aksi dikir barat.

 

Alhamdulillah PdP untuk hari ini bersama kelas 4 Genius telah mencapai objektif yang diingini walaupun ramai murid yang tidak hadir.

 

Gambar dibawah hanya sekadar hiasan sahaja.

dikir

 

 

 

 

 

 

Leave a Comment

CommentLuv badge