Tangan keras akhirnya menjadi lembut

Menulis

Kali ini, saya ingin berkongsi kisah kejayaan seorang murid tahun satu yang saya namakan Shah sudah mampu menulis. Jika sebelum ini, tangan Shah memang keras. Nak pegang pensil pun, sudah bermasalah. Apatah lagi untuk menulis.

Sekarang sudah pun bulan April, Shah sudah boleh menulis dengan baik. Setiap kali sesi pembelajaran, saya sering memberikan pujian untuk menaikkan self esteem Shah. Alhamdulillah, Shah mula menunjukkan perubahan sedikit demi sedikit.

Satu hari, saya mengajar subjek jawi. Saya menunjukkan cara yang betul menulis huruf kepada semua murid di dalam kelas menggunakan garis lurus. Sesuatu yang mengejutkan apabila Shah mampu meniru cara saya menulis. Ketika itu juga, saya memujinya di hadapan rakan-rakannya yang lain. Selepas tamat sesi pembelajaran, saya memberikan hadiah kepada Shah. Meskipun hadiah terlalu kecil nilainya tetapi air muka menunjukkan ia amat berharga.

Dalam hati, saya mendoakan Shah terus belajar menulis di rumah. Masa untuk mengajar Shah menulis bukan sekejap. Bukannya hari ini mengajarnya menulis, esok terus dapat. Ia mengambil masa. Jika dilihat satu sudut, Shah sudah ketinggalan berbanding rakan-rakan yang lain. Namun dari sudut positif, Shah baru bermula. Insya Allah, Shah mampu mengejar rakan-rakannya dari aspek menulis.

Tiada istilah lambat untuk bermula. Asalkan kita sebagai ibu dan bapa atau guru cakna dengan masalah seseorang anak kecil, kita masih mampu mengubahnya. Jangan serahkan beban mendidik anak kepada guru 100% kerana guru sebenar kepada anak-anak ialah ibu dan ayah. Guru di sekolah sebagai pembantu kepada ibu dan ayah dalam mendidik anak-anak.

Rebutlah peluang mendidik anak kecil di sisi kita. Bila melihat hasil didikan tersebut, hati anda lebih memahami bagaimana hebatnya rasa syukur di atas rahmat Ilahi.

Leave a Comment

CommentLuv badge